Saturday, June 5, 2010

.:Peragut Bersaudara:.


KANGAR: Seramai 25 peragut, sebahagian besarnya mempunyai pertalian keluarga, termasuk ibu dan anak perempuan, ditahan dalam operasi khas polis Perlis selepas dikesan aktif meragut sempena Karnival Jom Heboh TV3 di sini, kelmarin.

Berikutan itu, polis menemui 37 rantai leher, 14 loket, sembilan rantai tangan dan kaki yang keseluruhannya bernilai RM26,500 diragut kumpulan itu pada program yang berlangsung selama dua hari berhampiran Stadium Utama Kangar, di sini. Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Mohd Amin, berkata 25 suspek iaitu 12 lelaki dan 13 perempuan berusia antara 18 hingga 46 tahun yang semuanya berasal dari Sabah dikesan bergerak aktif menjalankan kegiatan ragut sempena majlis keramaian.
 
“Polis menerima 11 aduan mengenai kes ragut membabitkan mangsa terdiri daripada kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun yang mengunjungi Jom Heboh dan segera menubuhkan skuad khas memantau kegiatan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis (IPK) di sini, semalam.

Beliau berkata, empat suspek pertama, termasuk dua wanita ditahan bersama dua gunting sebelum, polis menyerbu sebuah hotel di Kuala Perlis dan menahan 21 ahli kumpulan peragut yang sebahagian besarnya mempunyai pertalian keluarga menginap di tujuh bilik di situ.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan itu datang ke sini hanya untuk meragut. Polis turut menemui diari tercatat beberapa majlis keramaian yang akan menjadi sasaran mereka,” katanya.

Ghazali berkata, polis turut menahan tiga suspek pembeli berasal dari Perak dan Pulau Pinang yang mengikuti kumpulan terbabit bersama alat penimbang emas serta 80 gram emas yang baru dibeli.

Beliau berkata, modus operandi mereka adalah bergerak dalam kumpulan kecil dengan mengenal pasti kanak-kanak yang memakai barangan kemas.serta mengelilingi mangsa sambil bermain manja sebelum meragut.

Semua 25 suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pendaftar Mahkamah Sesyen Kangar, Monica Jospeh Gaisah, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, bagi tujuan keselamatan untuk membaca perintah reman kepada semua suspek, pagi semalam

3 comments

Saturday, June 05, 2010 3:12:00 PM

wowww..
seangkatan famili woo~

Saturday, June 05, 2010 8:15:00 PM

bahaya nye kanak2 jadi target

Sunday, June 06, 2010 10:08:00 AM

sib bek kami selamat...

Post a Comment