Mangsa maut selepas putus pankreas, cedera seluruh badan

Alor Setar: Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, kanak-kanak berusia dua tahun yang dipercayai maut didera teman lelaki ibunya, disahkan mati akibat kecederaan serius pada seluruh badan. 


Ia termasuk 10 hingga 12 kecederaan serius termasuk pada abdomen, alat sulit, telinga, bibir, muka dan putus pankreas.


Dera guna objek tumpul 

Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan serius pada anggota badan dipercayai akibat penderaan menggunakan objek tumpul dipercayai sama ada ditumbuk, disiku atau dipijak. 

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan, berkata polis menerima laporan bedah siasat terhadap kanak-kanak terbabit daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas kejadian itu dilaporkan kelmarin. 

Semalam, BH melaporkan Faiz meninggal dunia dipercayai didera teman lelaki ibunya di Kampung Berjaya, Mergong. 

Saravanan berkata polis sudah menahan teman lelaki ibu kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai tukang paip itu ditahan kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam) dan kini direman sehingga 24 Disember ini untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Nenek kanak-kanak malang itu, Padzilah Ismail, 46, ketika ditemui bersyukur kerana lelaki yang menyebabkan kematian cucunya itu sudah ditahan polis. 

“Saya tidak akan maafkan dia sampai bila-bila kerana ‘merampas’ Faiz dari kami. Saya harap dia akan terima hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, semalam. 

Katanya Faiz seorang yang aktif, petah bercakap serta tidak banyak karenah. 

“Saya tidak menyangka lelaki itu sanggup mendera Faiz sampai begitu teruk, walaupun cucu saya itu pernah mengadu dipukul sebelum ini. 

“Sedih mengenangkan kali terakhir kami melihat Faiz, sehari sebelum meninggal dunia. Ketika itu arwah makan dengan penuh berselera, sebelum dia disahkan mati kelmarin,” katanya. 

Sementara itu, jenazah Faiz dituntut pihak keluarga selepas selesai bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ghuffran, Jalan Pegawai, jam 3 pagi semalam.